BANGI, 9 Rabiulawal 1440H, Sabtu
–
Kaum bukan Melayu tidak mempunyai asas kukuh untuk menyokong serta
menuntut apa yang terkandung dalam Konvensyen Antarabangsa Mengenai
Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Pensyarah
Sains Politik di Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Low Yong San.
Sebaliknya beliau berkata, mereka
sepatutnya memahami fakta sejarah politik negara terlebih dahulu sebelum
membangkitkan isu konvensyen antarabangsa berkenaan. Beliau menegaskan, ada dua fakta yang
kaum bukan Melayu harus faham, iktiraf dan hormati sebelum menuntut
kerajaan meratifikasi ICERD.
Pertama, katanya, sebelum kebanyakan kaum
bukan Melayu diberi kewarganegaraan, malah sebelum penjajahan British
ke atas Tanah Melayu lagi, negara sudah diperintah oleh Raja-raja
Melayu, malah British terpaksa mendapatkan perkenan Raja-raja Melayu
untuk meligitimasikan penjajahannya.
“Sebelum kebanyakan kaum bukan Melayu
memperoleh kewarganegaraan, malah sebelum penjajahan British di tanah
Melayu, satu sistem pemerintahan moden yang berpaksikan kepada Raja-raja
Melayu telah diasaskan di negeri-negeri Melayu di Malaya.
“Kerajaan kolonial British juga terpaksa
mendapatkan perkenan Raja-raja Melayu, sama ada secara sukrela atau
paksaan, untuk meligitimasikan penjajahan British di Malaya,” katanya
seperti dipetik akhbar Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut Yong San berkata, fakta
kedua yang perlu dihadam ialah sepanjang pemerintahan British, mereka
telah mengiktiraf kedudukan sah Raja-Raja Melayu, malah turut
mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal di
Malaysia.
“British juga telah mengiktiraf kedudukan
istimewa kaum Melayu sebagai penduduk asal (Bumiputera/Peribumi) serta
melaksanakan sistem politik dan pemerintahan yang bertunjangkan kaum
Melayu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, agak mengejutkan
apabila terdapat segelintir pemimpin Melayu sendiri yang menyokong dan
berkehendak agar ICERD diratifikasi.
Justeru beliau berkata, sebagai langkah
menghentikan polemik ICERD, Majlis Raja-Raja boleh membuat kenyataan
atau menyatakan pendirian rasmi berhubung isu ini.
Terdahulu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun
Abdul Hamid Mohamad mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak
berterus terang berhubung tujuan ratifikasi bagi mengelakkan berlakunya
bantahan, sebaliknya mereka menuntut Malaysia mengesahkan konvensyen
berkenaan.
“Apabila Malaysia mengesahkannya, Perkara
153 dan dasar yang bersifat diskriminasi kaum yang telah dipersetujui
sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan
kepada orang bukan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan
dimansuhkan.
“Untuk mengelak bantahan orang Melayu dan
kaum Bumiputera, mereka mengatakan bahawa pengesahan tidak akan
melibatkan peruntukan Perkara 153. Itu tidak betul,” katanya.
///
Tiada ulasan:
Catat Ulasan